JAM PINTAR SAMSUNG GALAXY GEAR S3


Kehadiran telefon pintar sudah dianggap sebagai satu pelengkap kepada kehidupan seseorang sehinggakan kadangkala sukar untuk berpisah walaupun sekejap. Ini disebabkan pelbagai aplikasi dipadankan dan ini tidak termasuk mesej yang tidak henti-henti memasuki peti WhatsApp mahupun laman sosial Facebook dan sebagainya.

Bagaimanapun, dengan kehadiran jam pintar terbaru Samsung Galaxy Gear S3, kaedah untuk membaca mesej kini berubah apabila anda boleh membalas mesej mahupun membuat panggilan telefon dengan mudah tanpa membuka skrin telefon pintar anda.

Apa yang menariknya, anda boleh membaca mesej dengan jelas ketika menonton wayang tanpa mengganggu rakan atau penonton di sebelah kerana apabila membuka telefon, ia mungkin menimbulkan ketidakselesaan akibat pancaran cahaya paparan skrin.

Cuma adakalanya tidak semua mesej atau e-mel boleh dibaca misalnya mesej mengandungi foto atau gambar yang memerlukan anda membuka skrin telefon.

Selain itu, jika membuat panggilan telefon ketika sedang memandu juga cukup jelas mendengar suara pemanggil menerusi pembesar suara kecil yang terletak di sebelah kiri jam. Anda hanya perlu meletakkan nombor kegemaran di paparan skrin jam bagi memudahkan panggilan dibuat.

Pengenalan jam pintar Samsung Gear S3 yang tampil dalam dua varian iaitu Gear S3 Frontier dan Classic menggunakan sistem operasi Tizen 2.3.1 ini dianggap jam tangan terbaik pernah dihasilkan Samsung selepas memperkenalkan Gear S2 sebelum ini yang tidak menyokong panggilan telefon secara terus.

Sebanyak 15 muka jam disertakan pertama kali peranti dihidupkan. Rekaan yang diberikan adalah terdiri daripada rekaan seakan jam analog klasik dan juga rekaan digital moden. Lebih banyak muka jam boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Samsung Gear.

Beberapa muka jam yang disertakan mempunyai pilihan untuk mengubah tetapan warna, reka huruf dan paparan tarikh.

Masih mengekalkan ciri bezel boleh putar untuk kawalan menu jam, skrinnya dilengkapi paparan 1.3 inci Super AMOLED dan dilindungi kaca Corning Gorilla Glass SR+ yang direka khas untuk peranti boleh pakai lebih tahan lasak serta tahan calar. Kelebihan bezel berputar seperti roda ini ialah memudahkan anda mengakses aplikasi, menu dan juga melihat notifikasi pada peranti.

Bagaimanapun, jika malas mahu menggunakan bezel, leretkan sahaja jari anda mengikut pelbagai arah dikehendaki sebagaimana ciri pada telefon pintar.

Apa yang menarik mengenai peranti ini ialah, ia turut mempunyai ketahanan kalis air IP68 dengan tahap kedalaman sehingga 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit. Jadi ia cukup sesuai untuk dipakai ketika menunggang basikal ketika dalam hujan ataupun berenang dalam tasik.

Pada bahagian kanan Gear S3 terdapat dua butang fizikal. Butang pertama di bahagian bawah adalah butang home yang mengembalikan anda kepada paparan jam dari mana-mana skrin manakala butang kedua berfungsi sebagai butang back untuk mengembalikan anda kepada menu sebelumnya.

Penukaran muka jam, tetapan notifikasi dan fungsi mencari Gear S3 ialah antara tetapan yang diberikan. Penguji mendapati majoriti notifikasi untuk aplikasi popular seperti Twitter, Facebook, WhatsApp dan GMail disokong.

Kesemua notifikasi pada jam boleh dibaca dengan memusingkan bezel atau meleretkan dengan jari ke kiri atau kanan. Talaan dari atas ke bawah pula akan memperlihatkan status bateri, sambungan Bluetooth, tetapan keterangan skrin dan juga tahap bunyi Gear S3. Skrin akan terpasang secara automatik apabila pergelangan tangan diputarkan dengan pantas tetapi akan terpadam dengan sendiri selepas beberapa saat atau dengan menutupnya dengan telapak tangan.

Apabila notifikasi diterima pada telefon pintar, ia terus muncul pada Gear S3 kurang sesaat selepas itu. Jadi dari pengalaman penggunaan setakat ini, penulis tidak lagi menemui sebarang masalah.

Samsung Gear S3 ialah jam tangan pintar yang cukup pintar dan berfungsi dengan cukup baik tanpa sebarang masalah. Antaramuka peranti amat mudah digunakan dan dipelajari tanpa memerlukan membaca manual.

Kepada yang mahu mengesan tahap kesihatan, Gear S3 dengan mudah mengesan nadi anda sepanjang hari. Sekiranya anda malas bersenam, jam tangan pintar ini akan sentiasa mengingatkan anda untuk bersenam.

Paling menakjubkan ialah hayat bateri yang mampu bertahan hampir empat hari. Pada penggunaan paling berat dengan kesemua notifikasi dipaparkan penulis mampu menggunakannya selama 48 jam. Pada penggunaan paling ringan pula hampir empat hari. Sistem pengecasan pantas magnetik yang digunakan juga kompak.

Jika anda dalam kecemasan, hanya perlu menekan butang Home sebanyak tiga kali, mesej SOS akan dihantar kepada penerima yang lengkap dengan lokasi. Pengguna juga boleh mengakses kepada lebih 11,000 aplikasi dalam aplikasi Gear termasuk kesihatan, muzik, berita, sukan, permainan dan pengembaraan.

INFO

SAMSUNG GEAR S3

• SAMBUNGAN: WiFi, Bluetooth, NFC

• SOKONGAN: Ciri Samsung Pay, GPS, sensor altimeter, barometer, speedometer

• PEMPROSESAN: 1.0GHz dua teras

• RAM: 768MB

• STORAN: 4GB

• KETAHANAN BATERI: 4 hari

• HARGA: RM1,399

Tiada ulasan:

'; (function() { var dsq = document.createElement('script'); dsq.type = 'text/javascript'; dsq.async = true; dsq.src = '//' + disqus_shortname + '.disqus.com/embed.js'; (document.getElementsByTagName('head')[0] || document.getElementsByTagName('body')[0]).appendChild(dsq); })();
InfoGajetMalaysia. Dikuasakan oleh Blogger.