DR. MAZLAN TOKOH IOT TEMPATAN YANG PALING BERPENGARUH


Apabila menyebut mengenai teknologi terutama Internet untuk Segalanya (IoT), kita akan mengimbas tokoh atau wira yang bukan rakyat negara ini.

Namun, bagi masyarakat moden terutama era digital, Malaysia juga mempunyai wira senyap yang berada di belakang tabir membangunkan negara bukan dengan senjata api, tetapi skil teknologi.

Baru-baru ini, Dr Mazlan Abbas diiktiraf agensi berkaitan teknologi, Rise sebagai tokoh paling berpengaruh untuk IoT.

Dr Mazlan Abbas yang juga pengasas Favoriot sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif REDtone IOT Sdn Bhd yang menyediakan penyelesaian bandar pintar.

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dan pencapaian dalam kapasiti pengurusan kanan terutama bertanggungjawab untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan inovasi produk & penyelesaian, pengurusan teknologi, operasi rangkaian dan ahli akademik bukan calang-calang individu dalam teknologi.

Sebelum menyertai REDtone, beliau menghabiskan lapan tahun di MIMOS Berhad iaitu agensi yang bertanggungjawab dalam penyelidikan teknologi sebagai Pengarah Kanan Kluster Komunikasi Tanpa Wayar mengatur strategi sehingga lahir produk baru seperti mesin rangkaian yang diguna pakai di negara ini.

Beliau juga menghabiskan 13 tahun di Celcom mengendalikan pelbagai jawatan pengurusan kanan termasuk R&D, operasi bil, teknologi dan pengurusan teknikal, pentadbiran dan pengurusan rangkaian, data mudah alih, penyelesaian perniagaan bersepadu dan mudah alih.

Rekod beliau sebelum itu juga memberangsangkan apabila menghabiskan 10 tahun sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dr Mazlan menjadi penceramah yang kerap dalam banyak persidangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam negara dan di peringkat global.

Lulusan dari UTM dan Universiti Essex (UK) dengan sarjana dalam telematik dan kedoktoran dalam bidang telekomunikasi memberi kesan mendalam kepada negara.

Sejak kecil, Dr Mazlan bercita-cita menjadi seorang saintis dan mahu mencipta sebuah robot.

“Mungkin minat saya bermula dengan menonton filem atau siri di TV yang berunsur fiksyen dan Allahyarham bapa saya juga menjadi sumber inspirasi kerana beliau seorang yang pandai dalam membaik pulih barangan elektronik.

“Walaupun arwah seorang kerani, beliau mampu membaiki TV sebagai kerja sambilannya dan ia menambah minat terhadap teknologi yang mendorong saya mempunyai hobi dengan kerap membeli buku komputer dan majalah sains sejak akhir 1970-an hingga sekarang,” katanya.

KERAP diundang untuk memberi syarahan berkaitan IoT.

Minat Dr Mazlan semakin mendalam mengenai teknologi apabila mula belajar dalam kursus kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Malaysia dan selepas itu didedahkan kepada pengaturcaraan komputer bermula dengan menggunakan ‘punch card’ dan komputer kerangka besar (mainframe computer).

“Begitu juga apabila Internet mula-mula di perkenalkan di universiti, minat ini semakin berterusan sehingga mengambil ijazah sarjana dan kedoktoran,” katanya.

Mengimbau juga komputer pertama beliau, Dr Mazlan memaklumkan komputer pertama yang dimiliki adalah model Apple namun ia hanyalah model tiruan kerana tidak berkemampuan membeli yang asli pada masa itu.

“Gajet pertama saya ialah sebuah Palm Pilot pada 1998. Cara hendak menyambung ke Internet ialah dengan menggunakan modem telefon mudah alih dan disambung dengan infra-red,” katanya.

Dr Mazlan tersenarai dalam ‘IoT Top 100 Influencers’ di dunia oleh Postscapes sejak 2017.

“Sebelum itu saya juga tersenarai dan memperoleh tempat ke-20 dalam ‘Thought Leader in IoT’ oleh Onalytics Report 2014,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan IoT di Malaysia, Dr Mazlan berkata, secara tidak disedari Malaysia sudah diperkenalkan dengan IoT sejak awal tahun 2000 dalam bentuk mesin ke mesin (M2M) oleh syarikat telekomunikasi.

“Bagaimanapun, apabila kos serta beberapa teknologi baru yang mula diperkenalkan seperti Big Data Analytics, Artificial Intelligence, Robotics dan lain-lain berada di Malaysia, IoT menjadi semakin mendapat perhatian,” katanya.

Beliau memaklumkan, untuk Malaysia maju ke depan dalam IoT yang juga masa depan dunia, beberapa faktor perlu diberi perhatian termasuk pendidikan IoT di sekolah dan universiti untuk membina bakat yang berpengetahuan dalam teknologi terbaru.

“Transformasi minda dan sikap yang berani untuk berubah bagi setiap organisasi juga perlu ada kerana jika mereka tidak berubah nescaya mereka akan jauh ditinggalkan dan menjadi tidak relevan lagi,” katanya.

GAJET pertama yang dimiliki Dr Mazlan, sebuah Palm Pilot pada 1998.

Dr Mazlan menegaskan, perlu ada jaguh IoT yang mempunyai komitmen tinggi untuk memastikan perlaksaaan dan kejayaan projek IoT.

“Di samping itu, kita perlu membantu usahawan IoT seperti syarikat pemula memandangkan mereka adalah penjana pekerjaan di Malaysia.

“Tanpa mereka maka peluang pekerjaan akan makin berkurang untuk bakat IoT baru yang akan keluar dari Universiti dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang,” kata Dr Mazlan.

Selain itu, Dr Mazlan mahu ekosistem IoT yang mantap bukan terhad kepada peranan industri dan universiti saja tetapi peranan kerajaan dalam memberi suasana kawal selia yang mesra industri dan proses kelulusan piawaian yang cekap.

Dalam era menuju Revolusi Industri ke-4 (IR4.0), Malaysia perlu menaikkan tahap pemahaman dan penggunaan teknologi seperti IoT, kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), data besar dan ‘Blockchain’.

“Walaupun Malaysia mempunyai keupayaan dalam bentuk perisian, kita perlu menekankan industri eletronik (perkakasan).

“Era IR4.0 memerlukan pekerja berpengetahuan dan sektor pendidikan yang menjadi faktor penting dalam membentuk hala tuju dan visi negara,” katanya.

Tiada ulasan:

'; (function() { var dsq = document.createElement('script'); dsq.type = 'text/javascript'; dsq.async = true; dsq.src = '//' + disqus_shortname + '.disqus.com/embed.js'; (document.getElementsByTagName('head')[0] || document.getElementsByTagName('body')[0]).appendChild(dsq); })();
InfoGajetMalaysia. Dikuasakan oleh Blogger.